1.0 Pengenalan
Pada zaman ini, pelbagai tingkah laku negatif yang berlaku telah lahir dengan banyaknya di seluruh dunia akibat daripada ketidak seimbangan sistem pendidikan yang sama ada datang dari sumber-sumber primer atau sekunder sosialisasi. Daripada tingkahlaku jenayah yang besar seperti membunuh hinggalah ke tingkahlaku di luar norma seperti menyakitkan hati berlaku dalam masyarakat dunia pada masa ini. Buli merupakan salah satu daripada tingkahlaku negatif yang menyapa masyarakat kita pada hari ini. Ia bukanlah seperti tingkahlaku negatif lain yang melibatkan orang dewasa tetapi ia melibatkan individu-individu di peringkat sekolah atau institusi pengajian yang baru setahun jagung dalam dunia serba tingkahlaku ini.
Buli boleh didefinisikan sebagai satu tingkahlaku agresif sama ada dari segi fizikal atau mental secara berterusan atau berulang yang bertujuan untuk mengganggu mangsa, dan mangsa selalunya akan merasa tertekan dan terganggu dengan tindakan tersebut. Perlakuan buli boleh dibahagikan dengan beberapa tindakan seperti memeras ugut, mengutuk atau mengata sesuatu yang memberi kesan psikologi kepada mangsa, memukul, merosakkan harta benda kepunyaan mangsa, menjatuhkan maruah mangsa, memulaukan mangsa dan mengenakan mangsa dengan helah-helah.
Pada kebiasaannya, buli melibatkan 3 pihak yang utama, iaitu kanak-kanak sama ada individu atau berkumpulan sebagai pemangsa atau pembuli, kanak-kanak sama ada individu atau kumpulan yang menjadi mangsa buli dan kanak-kanak lain yang kadangkala menjadi saksi pelakuan buli itu berlaku.
2.0 Hubungan Negatif
Dalam menjalani kehidupan serba singkat ini, kita akan menempuhi pelbagai situasi yang akan menjadikan kita sebagai seperti sekarang yang boleh dikatakan tidak akan sama dengan individu walaupun individu kelihatan seperti kita dari hobinya, dan sebagainya bergantung kepada bagaimana kita disosialisasikan dengan persekitaran kehidupan kita. Perbuatan buli itu juga boleh lahir dari cara bagaimana individu disosialisasikan.
Faktor yang pertama ialah, pengaruh kehidupan di rumah yang agresif. Terdapat individu yang menjadi ketakutan kepada kanak-kanak semasa berada di tempat kediaman seperti ayah dan abang. Kanak-kanak ini mungkin sentiasa diserapkan dengan suasana yang kritikal seperti sering dimarahi dan dipukul atau melihat tingkahlaku ganas terhadap ahli keluarga oleh mereka sendiri. Suasana yang tidak selesa di rumah menjadikan persekitaran di luar sebagai lebih tenang terutamanya di sekolah. Untuk melepaskan tekanan yang dialami atau mendapatkan hajat dengan cara yang mudah, kanak-kanak ini akan mencari mangsa untuk beliau melepaskan amarahnya sama ada dari segi fizikal dan mentalnya sama ada dengan melakukan keganasan fizikal dan sebagainya.
Faktor yang kedua ialah, pengaruh rakan sebaya. Individu yang mempunyai sokongan daripada rakan-rakan akan merasakan kekuatan untuk melakukan sesuatu tindakan itu. Selain daripada menyoronokkan, sokongan daripada rakan-rakan menggalakkan lagi aktiviti buli ini kerana kanak-kanak ini merasakan bahawa dia disebelahi oleh rakan-rakannya yang lain. Selain itu, individu ini juga merasakan bahawa dia selamat apabila terdapat orang-orang yang menyebelahinya yang bersamanya apabila berlaku sesuatu perkara.
Faktor yang ketiga pula ialah institusi pendidikan. Pentadbiran sekolah yang lemah dan tidak cekap membuka ruang berlakunya kes-kes atau kejadian buli ini dalam kalangan murid-murid atau pelajar-pelajar khasnya. Penjanaan dan praktikal disiplin sesebuah institusi yang kurang ditekankan juga mendorong penuntut-penuntut bertingkahlaku secara negatif. Penukaran pentadbir secara kerap membuktikan dan menunjukkan bahawa sistem pentadbiran institusi yang tidak cekap akan menghasilkan unsur-unsur yang songsang dalam kalangan penuntut. Garis panduan dalam menyatakan kesalahan sesuatu perkara juga perlu dinyatakan secara jelas dalam sesebuah institusi.
Faktor yang keempat pula ialah pengaruh media. Pada zaman yang serba canggih dan penuh dengan kemodenan ini, filem-filem amat mudah didapati oleh semua lapisan masyarakat. Filem-filem pelbagai konsep diserapkan dalam minda seawal usia kanak-kanak. Hal ini seterusnya menjurus kepada ikutan-ikutan aksi yang ditayangkan dalam filem oleh kanak-kanak itu. Aksi-aksi yang ganas dan merbahaya dilihat oleh manusia yang baru setahun jagung dalam dunia ini dan ini seterusnya mempengaruhi tingkahlaku individu ini ke dalam dunia realiti atau dunia sebenarnya. Siapa yang berada dalam dunia realiti di sekeliling kanak-kanak ini jika bukan dalam dunia persekolahannya? Akibat daripada pengaruh media yang tidak terbatas kepada semua lapisan umur yang mudah didapati, kanak-kanak ini sudah terkeluar dari norma dan tingkahlaku normal seusia dengannya.
3.0 Permasalahan Buli
Walaupun pelbagai usaha dan langkah yang efektif dan bernas telah dibuahkan dan dilaksanakan untuk membendung dan mengatasi kes buli ini daripada berulang dan berlaku lagi dalam kalangan penuntut-penuntut, namun kejadian buli ini masih berlaku.
Pertama, kebiasaannya, kejadian buli berlaku di kawasan-kawasan yang terpencil atau jauh dari penglihatan orang ramai. Kawasan belakang bangunan, dalam tandas, bilik persalinan, dan di kawasan yang tersorok merupakan suatu tempat yang dilihat strategik untuk menjalankan kegiatan buli ini. Hal ini seterusnya menyukarkan tindakan-tindakan membanteras aktiviti ini kerana kejadian buli ini tidak berlaku di tempat yang mudah dilihat dan diperhatikan.
Kedua, mangsa dan saksi kejadian buli enggan atau tidak memberitahu dan meminta bantuan daripada orang yang bertanggungjawab dan orang yang boleh dipercayai bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana cara berfikir saksi dan mangsa untuk tidak memperbesarkan perkara ini dan untuk mengelakkan sebarang masalah lain yang akan datang selepas itu. Mangsa dan saksi juga takut untuk memberitahu perkara ini kepada pihak yang berkenaan kerana bimbangkan keselamatan diri daripada pembuli itu.
Ketiga ialah, mentaliti senior atau orang yang lebih tua. Apabila mengadakan sebarang perhubungan dengan orang yang lebih tua sama ada secara langsung ataupun tidak, individu tersebut perlulah menghormati orang yang lebih tua darinya mengikut perspektif individu yang bergelar senior itu. Jika beliau merasakan bahawa sesetengah perkara perlu mengikut caranya. Hal ini seterusnya menunjukkan keegoan seorang yang lebih tua dengan mengenakan si individu yang padanya telah membuat kesilapan walaupun kesilapan itu tidak disedarinya atau dilakukan secara sengaja. 86% dan 88% daripada 50 orang responden melaporkan sebagai mangsa guru dan orang dewasa di sebuah institusi yang melibatkan pembulian fizikal dan psikologikal.
Keempat, fizikal pembuli atau mangsa buli. Kebiasaannya, pembuli mempunyai bentuk fizikal yang lebih besar jika dibandingkan dengan mangsa. Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan menjadi ukuran dalam berlakunya kes-kes buli ini dan sudah pasti orang yang berbadan lebih besar dilihat lebih kuat dan bertenaga jika dibandingkan dengan orang yang mempunyai tubuh yang kecil. Terdapat ramai individu yang pelbagai saiz yang menuntut di sesebuah institusi. Jadi, pemantauan secara empirikal tidak dapat dilaksanakan untuk mengelakkan berlakunya kejadian buli ini secara total.
Kelima ialah, kelainan mangsa. Individu yang dilihat sebagai kurang dari aspek fizikal seperti mempunyai kecacatan sering dijadikan sebagai mangsa buli. Ini adalah kerana, individu ini tidak seperti individu lain yang normal. Jadi, alasan untuk itu ialah individu ini tidak sama dengan kebanyakkan orang dan selalunya individu seperti ini sentiasa merendah diri di khalayak awam. Permasalahannya ialah mereka sebagai mangsa yang tidak sempurna tidak berani untuk melaporkan kejadian buli dan sanggup untuk menghadapi sebarang bentuk buli yang dilakukan ke atasnya oleh kaki-kaki buli. Mereka juga tidak akan memberatkan hal itu ke pihak atasan atau pentadbiran demi untuk mengekalkan keadaan yang padanya memang nasib dan takdirnya.
4.0 Implikasi Tingkahlaku Buli
Mangsa buli akan menerima impak yang besar dalam kehidupannya. Mangsa akan sering merasa tidak tenteram atau selamat jika berada di kawasan-kewasan tertentu terutamanya di tempat yang sunyi, gelap, suram, dan kawasan-kawasan yang seakan-akan di tempat mangsa dibuli. Tekanan perasaan yang dialami oleh mangsa buli ini boleh membawa kepada perkara-perkara yang lebih serius jika tidak mendapat rawatan yang lebih spesifik. Perasaan ingin bunuh diri juga boleh datang ke dalam diri mangsa apabila beliau sering mengalami tekanan perasaan akibat daripada perbuatan buli yang memberi kesan yang mendalam kepada diri mangsa. Mangsa akan merasakan bahawa kehidupannya tidak baik untuk diteruskan akibat daripada pengalaman-pengalaman pahit yang dilalui semasa kehidupannya. Selaian itu, mangsa juga akan sentiasa mengasingkan diri dari orang ramai. Impak daripada buli ini menunjukkan bahawa mangsa adalah seorang yang lemah, pondan, tidak kuat, penakut dan sebagainya dan hal ini menjadikan mangsa merasakan bahawa dirinya tidak sama dengan individu lain lalu bersikap seperti kera sumbang, sikap yang dingin dan pemalu. Kesihatan mental mangsa buli ini terjejas tidak seperti individu lain yang tidak pernah mengalami situasi seperti itu.
Mangsa buli juga selain daripada terjejas kesihatan mentalnya, kesihatan fizikalnya juga turut mendapat kesan. Mangsa buli lebih mudah untuk mengalami masalah fizikal jika dibandingkan dengan individu lainnya. Penyakit-penyakit seperti selsema, batuk, sakit tekak, selera makan menurun dan sering kali terjaga pada waktu malam mudah untuk mangsa untuk menghidapinya. Sudah pasti kita tidak dapat menolak bahawa antara penyakit ini adalah kesan daripada tekanan jiwa atau perasaan yang dialami mangsa.
Kesan terhadap kaki buli pula ialah beliau akan menjadi lebih agresif pada hari depannya. Ini adalah kerana cara hidupnya yang bersifat agresif pada seawal usianya menjadikannya sentiasa bersifat dan bersikap secara agresif. Ia juga akan mendorong kepada perbuatan jenayah yang lebih besar seperti merompak, menyamun dan membunuh. Personaliti yang telah dipupuk semasa kecil akan mencorak kehidupan ketika menjangkau alam dewasa. Dengan itu kaki buli semasa di peringkat sekolah lebih berpeluang untuk menjadi seorang penjenayah sama ada penjenayah kecil atau besar apabila dewasa kelak jika tidak terdapat sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri individu ini ketika masih awal.
Buli juga memberi kesan yang negatif kepada sekolah itu sendiri. Sekolah tersebut akan dilihat dan dilabelkan sebagai sekolah yang mempunyai masalah disiplin yang besar dan pentadbiran sekolah jugalah yang akan mendapat malu. Dalam jangka masa yang panjang, prestasi akademik sekolah juga akan menurun apabila kejadian buli ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak sekolah. Ini adalah kerana sistem pendidikan yang tidak dapat disampaikan dan diserapkan ke dalam diri pelajar-pelajar kerana sibuk menguruskan kes-kes buli yang tidak pernah selesai. Ini seterusnya menjatuhkan nama baik sekolah tersebut dan sekolah itu tidak akan menjadi pilihan bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah kerana masalah tersebut akan mengancam prestasi anaknya sendiri dalam mencapai kemajuan
5.0 Langkah-Langkah Mengatasi
Langkah-langkah yang wajar harus dijana bagi mengelakkan kejadian buli ini berlaku terutamanya di persekitaran sekolah. Pihak pentadbiran harus sentiasa mengingatkan kakitangan supaya menangani kes buli ini dengan lebih profesional, iaitu dengan mengimbangkan kesan ke atas pembuli dan mangsa. Pembuli harus dinasihati terlebih dahulu sebelum dikenakan sebarang tindakan disiplin supaya keinsafan datang ke dalam sanubari mereka. Mangsa pula perlu diberi harapan dan dorongan supaya ia tidak memberi kesan yang mendalam ke atas mentalnya.
Pengawasan secara rapi dan efisyen perlu dilaksanakan oleh kakitangan bagi memberi dan membuka ruang daripada berlakunya kejadian buli ini. Kawasan-kawasan yang boleh menyumbangkan kepada terjadinya kes buli ini perlu sentiasa dipantau. Bilik persalinan, bilik air, belakang bangunan dan di kantin perlu diawasi selalu. Sebagaimana yang telah kita semua sedia maklum, kejadian buli ini kebanyakkannya berlaku di kawasan-kawasan yang sunyi dan terpencil yang jauh dari perhatian awam.
Penuntut juga perlu diserapkan tentang tanggungjawab sosial untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab. Buli bukan sahaja melanggar peraturan atau disiplin sekolah, malah ia melanggar undang-undang negara atau persekutuan. Sebarang unsur-unsur yang boleh ditakrifkan sebagai buli perlu dilaporkan kepada pihak atasan supaya kejadian yang sama tidak berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang oleh individu yang sama. Penuntut-penuntut juga perlu sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap sekolah, masyarakat dan negara dalam mereka menggalas peranan sebagai peneraju masa hadapan.
Kaunselor di sekolah juga dalam memegang peranan sebagai perunding dan penasihat di sesebuah sekolah juga harus memainkan peranan yang penting dalam mengatasi permasalahan ini. Dialog-dialog bersama bersama dengan mangsa dan pemangsa dapat mengurangkan kesan yang negatif yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Kemahiran-kemahiran dalam mempengaruhi sikap murid-murid khasnya dapat membantu untuk menjayakan hasrat tersebut untuk menjamin tingkahlaku negatif tersebut tidak berulang terutamanya kepada pemangsa.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya hidup secara sihat. Perkara-perkara yang boleh mengganggu emosi anak-anak perlu dielakkan kerana perkara tersebut hanya akan melahirkan mental yang tidak sihat dalam kalangan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga perlu selalu mengenalpasti bahawa anak-anaknya tidak terlibat dalam tingkahlaku buli ini secara kerap samada sebagai mangsa atau pemangsa. Antara lain ialah ibu bapa mengajar dan mendidik bagaimana untuk memberi respon dengan lebih berkesan untuk mengelakkan kejadian buli ini. Contohnya dengan cara mengelakkan daripada berada di kawasan yang boleh terjadinya buli seperti di tempat-tempat terpencil, berada dalam kumpulan yang besar atau ramai, tidak melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan orang lain dan berinteraksi dengan cara yang positif dengan orang ramai seterusnya dapat mengelakkan dari menjadi punca buli ini.
6.0 Kesimpulan
Permasalahan buli ini bukanlah suatu perkara yang boleh dilihat sebagai perkara yang kecil. Kita harus ingat bahawa sebelum terjadinya suatu yang besar yang selalunya akan memberi impak yang besar akan adanya atau terjadinya sesuatu yang kecil terdahulu. Semua pihak perlu berada di kedudukan atau tempat masing-masing dalam menggalas peranan sebagai ahli dalam struktur sosial ini agar sistem yang telah kita bina selama ini berfungsi dengan efektif dan selamat. Individu yang baik bermula daripada keluarga yang sejahtera kehidupannya.Oleh itu, penyerapan nilai-nilai murni dalam keluarga adalah penting bagi menjamin kualiti hidup yang lebih sempurna pada hari mendatang. Bukan material yang kita lihat, tetapi akhlak yang kita sanjung. Budi pekerti yang baik individu sesama individu akan melahirkan perhubungan yang lebih positif dan bermakna dalam kalangan mereka.
Semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras permasalahan ini dari terus berakar-umbi dalam masyarakat kita. Peranan masing-masing dalam sistem sosial ini perlu kita lakukan dengan sehabis baik berlandaskan dengan agama dan sistem kepercayaan masing-masing. Tidak ada agama yang melihat suatu penindasan suatu yang baik dan positif. Jadi, pendidikan awal iaitu sebelum atau semasa individu itu bersekolah amat penting dalam memastikan akhlak dan moralnya berada pada tahap yang normal bagi seorang penghuni dunia yang masih baru mengenal dunia ini. Jika buruk ajaran atau pendidikan yang diajar atau diserapkan dalam diri individu itu, maka sudah pasti masa depannya juga begitu seperti yang telah disosialisasikan itu.
No comments:
Post a Comment