بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friday, August 29, 2008

rkok yang naik lagi...tp perokok masih naik lagi...

Tuesday, July 22, 2008

ke sini dan ke sana, upss!! terlupa...

Bukanlah di dalam hati ini ingin menghina mahupun memperkecilkan kewibawaan sesiapa. Namun apa yang diperhatikan kini adalah suatu reliti yang hakiki bahawa dunia hari ini telah terjerumus ke dalam lembah yang memungkinkan manusia sebagai hamba di muka bumi ini yang mengejar dunia semata-mata walaupun bukan semua yang dimaksudkan di sini.

Hari ini, pada zaman ini, saya yakin dan percaya pada setiap hari, masa dan waktu apabila kita melangkah sahaja keluar rumah sudah pasti kita melihat anak-anak gadis kita berpakaian ala artis kononnya. Dengan solekan di muka dan tidak mengenakan tudung dan berpakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh badan sendiri. Ada juga di antara mereka masih mengenakan tudung tetapi berpakaian ketat semata-mata perpegang kepada budaya yang diamalkan keluarga mereka iaitu "pakai tudung", janji pakai. Apa tu!? Kalau mak-bapak pun tak diajar tentang pendidikan islam dan cara hidup islam disamping mendalami ajaran islam, bagaimana perkara itu ini hendak disampaikan kepada generasi mereka, keturunan mereka?

Kalaulah ditakdirkan terjadi sesuatu kepada anak-anak mereka terutama perempuan, mulalah menyalahkan itu, ini. Sedangkan diri sendiri tidak dilihat sebagai penyumbang yang menjadikan anak mereka terjebak ke dalam lembah tidak bermoral di samping tidak memantau aktiviti anak-anak, pergaulan dan sebagainya.

Mari kita renungkan kembali kepada Pencipta kita. Kita percaya bahawa Allah adalah tuhan yang mencipta kita, satu-satunya tuhan. Yang mencipta bumi, matahari, planet-planet lain, segala yang ada di dalam ciptaannya. Jadi, seharusnya, sewajibnya kita yakin bahawa segala peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh yang Maha Pencipta adalah yang terbaik kepada hambanya. Tiada yang lebih baik daripada ciptaannya. Setiap yang berlaku mempunyai sebab. Tiada apa yang berlaku dan terjadi tanpa sebab, dan Allah yang Maha mengetahui tentang sesuatu itu kerana semuanya di bawah kuasa Nya. Yakinlah bahawa Allah mengurniakan kita akal supaya kita dapat berfikir dan merenung tentang kekuasaaan Allah dan mengikuti suruhan dan meninggalkan larangan Allah.

Penerapan nilai-nilai Islam perlu sejak dari kecil hingga ke alam tua. Bukanlah seperti dalam fikiran orang-orang sekarang, dah pencen nanti barulah nak mengikuti ceramah, jadi orang surau, pergi haji dan sebagainya. Mati itu pasti, masanya saja tak pasti. Yang Baik dari Allah. Allah yang lebih mengetahui tentang sesuatu perkara.

Thursday, March 06, 2008

Auratku bukan untukmu jua


A'uzubillahiminash syaitonir rajim, Bismillahir rahmanir rahim..

Penerapan nilai-nilai dan cara hidup Islam secara total perlu bagi mengubah hala tuju kepimpinan yang lebih bercorakkan acuan dan bentuk Islam dari kecil lagi. Jika kita lihat pada masa sekarang, aurat-aurat seperti yang telah digariskan kepada penganut-penganut Islam tidak lagi menjadi suatu yang major dalam dunia hari ini. Tidak kira kepada jenis gender, aurat dilihat sebagai suatu yang menjadi permasalahan pada masa ini. Adapun yang mengatakan bahawa mereka telah menutup aurat, tetapi hakikat dan realitinya adalah bukan. Aurat hanya dilihat sebagai suatu pemakaian tudang bagi wanita-wanita muslimah.

Siapa yang patut dipersalahkan mengenai isu ini? Atau adakah isu ini tidak sepatutnya menjadi isu? Aurat pada wanita adalah tubuh badannya kecuali tapak tangan dan muka. Ini membawa maksud wanita Islam sewajibnya mengenakan pakaian yang menutupi badannya dan yang tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

Pada masa ini, pengaruh-pengaruh media menyerapkan nilai kecantikan mengikut perspektif non-muslim ke dalam diri muslim itu sendiri. Pendefinisian kecantikan adalah mempunyai tubuh yang berbentuk 8 atau ukuran 24-36-24, dada yang menonjol, pinggul yang menawan dan sebagainya yang lebih bersifat atau yang lebih mementingkan keegoan telah menyebabkan mentaliti masyarakat Malaysia umumnya dan wanita Islam khasnya telah menutupi yang hak dan memperlihatkan yang batil menjadi yang hak. Pemakaian pakaian yang ketat yang menampakkan bentuk badan termasuk pemakaian seluar jenis jeans bagi golongan wanita jelas salah dan menafikan penutupan aurat secara tidak sedar.

Aurat dilihat sebagai menutup kulit yang merupakan organ terbesar manusia. Pemikiran seperti ini perlu dikikis dengan memperbanyakkan bacaan-bacaan yang berunsur ilmiah keagamaan. Keseronokkan menghadapi dunia yang serba sementara ini menjadikan kita sebagai manusia alfa dan leka dengan hiburan yang pelbagai dari media-media. Penerapan nilai-nilai murni dianggap sebagai minor dan kehidupan yang sementara ini perlu diisi dengan kegembiraan dan keseronokan.

Sesungguhnya akhirat itu lebih baik dari dunia bagi mereka yang tidak lari dari landasan tali Allah. Bersama kita berjuang dalam penerapan nilai-nilai Islam kepada sekurang-kurangnya waris kita. Semoga mereka pula mengembangkan juga kepada waris-waris mereka.

Tambahan..Bukan nak cakaplah, kepada peminat akademi fantasia, janganlah jadikan diri anda seorang yang bodoh dalam kalangan orang-orang yang bodoh yang lain. Apa manfaat anda khasnya perempuan yang suka menonton konsert itu yang memang tak menjana langsung pendapatan dunia mahupun akhirat anda? Baik tengok movie atau filem ja, ada la sikit yang boleh diterima pakai sebagai informasi. Anda menonton, anda bersubahat dalam industri maksiat secara tidak langsung. Tahniah!!Anda ada saham di sana dalam industri ini dengan saham-saham seharian anda. Hidup sementara, hiburan itu perlu TETAPI yang berlandaskan syariat. Atau anda nak gadaikan kehidupan anda di dunia ini yang anda rasa anda perlu menikmati dengan nikmat-nikmat dunia yang bercanggah dengan norma keIslaman? Anda tentukan.

Yang benar itu Hak, yang salah itu Batil. Saya yang menjalankan tugas,

MOHD HUSNI BIN SULAIMAN

Buli; Selangkah ke dunia Jenayah

1.0 Pengenalan

Pada zaman ini, pelbagai tingkah laku negatif yang berlaku telah lahir dengan banyaknya di seluruh dunia akibat daripada ketidak seimbangan sistem pendidikan yang sama ada datang dari sumber-sumber primer atau sekunder sosialisasi. Daripada tingkahlaku jenayah yang besar seperti membunuh hinggalah ke tingkahlaku di luar norma seperti menyakitkan hati berlaku dalam masyarakat dunia pada masa ini. Buli merupakan salah satu daripada tingkahlaku negatif yang menyapa masyarakat kita pada hari ini. Ia bukanlah seperti tingkahlaku negatif lain yang melibatkan orang dewasa tetapi ia melibatkan individu-individu di peringkat sekolah atau institusi pengajian yang baru setahun jagung dalam dunia serba tingkahlaku ini.

Buli boleh didefinisikan sebagai satu tingkahlaku agresif sama ada dari segi fizikal atau mental secara berterusan atau berulang yang bertujuan untuk mengganggu mangsa, dan mangsa selalunya akan merasa tertekan dan terganggu dengan tindakan tersebut. Perlakuan buli boleh dibahagikan dengan beberapa tindakan seperti memeras ugut, mengutuk atau mengata sesuatu yang memberi kesan psikologi kepada mangsa, memukul, merosakkan harta benda kepunyaan mangsa, menjatuhkan maruah mangsa, memulaukan mangsa dan mengenakan mangsa dengan helah-helah.

Pada kebiasaannya, buli melibatkan 3 pihak yang utama, iaitu kanak-kanak sama ada individu atau berkumpulan sebagai pemangsa atau pembuli, kanak-kanak sama ada individu atau kumpulan yang menjadi mangsa buli dan kanak-kanak lain yang kadangkala menjadi saksi pelakuan buli itu berlaku.

2.0 Hubungan Negatif

Dalam menjalani kehidupan serba singkat ini, kita akan menempuhi pelbagai situasi yang akan menjadikan kita sebagai seperti sekarang yang boleh dikatakan tidak akan sama dengan individu walaupun individu kelihatan seperti kita dari hobinya, dan sebagainya bergantung kepada bagaimana kita disosialisasikan dengan persekitaran kehidupan kita. Perbuatan buli itu juga boleh lahir dari cara bagaimana individu disosialisasikan.

Faktor yang pertama ialah, pengaruh kehidupan di rumah yang agresif. Terdapat individu yang menjadi ketakutan kepada kanak-kanak semasa berada di tempat kediaman seperti ayah dan abang. Kanak-kanak ini mungkin sentiasa diserapkan dengan suasana yang kritikal seperti sering dimarahi dan dipukul atau melihat tingkahlaku ganas terhadap ahli keluarga oleh mereka sendiri. Suasana yang tidak selesa di rumah menjadikan persekitaran di luar sebagai lebih tenang terutamanya di sekolah. Untuk melepaskan tekanan yang dialami atau mendapatkan hajat dengan cara yang mudah, kanak-kanak ini akan mencari mangsa untuk beliau melepaskan amarahnya sama ada dari segi fizikal dan mentalnya sama ada dengan melakukan keganasan fizikal dan sebagainya.

Faktor yang kedua ialah, pengaruh rakan sebaya. Individu yang mempunyai sokongan daripada rakan-rakan akan merasakan kekuatan untuk melakukan sesuatu tindakan itu. Selain daripada menyoronokkan, sokongan daripada rakan-rakan menggalakkan lagi aktiviti buli ini kerana kanak-kanak ini merasakan bahawa dia disebelahi oleh rakan-rakannya yang lain. Selain itu, individu ini juga merasakan bahawa dia selamat apabila terdapat orang-orang yang menyebelahinya yang bersamanya apabila berlaku sesuatu perkara.

Faktor yang ketiga pula ialah institusi pendidikan. Pentadbiran sekolah yang lemah dan tidak cekap membuka ruang berlakunya kes-kes atau kejadian buli ini dalam kalangan murid-murid atau pelajar-pelajar khasnya. Penjanaan dan praktikal disiplin sesebuah institusi yang kurang ditekankan juga mendorong penuntut-penuntut bertingkahlaku secara negatif. Penukaran pentadbir secara kerap membuktikan dan menunjukkan bahawa sistem pentadbiran institusi yang tidak cekap akan menghasilkan unsur-unsur yang songsang dalam kalangan penuntut. Garis panduan dalam menyatakan kesalahan sesuatu perkara juga perlu dinyatakan secara jelas dalam sesebuah institusi.

Faktor yang keempat pula ialah pengaruh media. Pada zaman yang serba canggih dan penuh dengan kemodenan ini, filem-filem amat mudah didapati oleh semua lapisan masyarakat. Filem-filem pelbagai konsep diserapkan dalam minda seawal usia kanak-kanak. Hal ini seterusnya menjurus kepada ikutan-ikutan aksi yang ditayangkan dalam filem oleh kanak-kanak itu. Aksi-aksi yang ganas dan merbahaya dilihat oleh manusia yang baru setahun jagung dalam dunia ini dan ini seterusnya mempengaruhi tingkahlaku individu ini ke dalam dunia realiti atau dunia sebenarnya. Siapa yang berada dalam dunia realiti di sekeliling kanak-kanak ini jika bukan dalam dunia persekolahannya? Akibat daripada pengaruh media yang tidak terbatas kepada semua lapisan umur yang mudah didapati, kanak-kanak ini sudah terkeluar dari norma dan tingkahlaku normal seusia dengannya.

3.0 Permasalahan Buli

Walaupun pelbagai usaha dan langkah yang efektif dan bernas telah dibuahkan dan dilaksanakan untuk membendung dan mengatasi kes buli ini daripada berulang dan berlaku lagi dalam kalangan penuntut-penuntut, namun kejadian buli ini masih berlaku.

Pertama, kebiasaannya, kejadian buli berlaku di kawasan-kawasan yang terpencil atau jauh dari penglihatan orang ramai. Kawasan belakang bangunan, dalam tandas, bilik persalinan, dan di kawasan yang tersorok merupakan suatu tempat yang dilihat strategik untuk menjalankan kegiatan buli ini. Hal ini seterusnya menyukarkan tindakan-tindakan membanteras aktiviti ini kerana kejadian buli ini tidak berlaku di tempat yang mudah dilihat dan diperhatikan.

Kedua, mangsa dan saksi kejadian buli enggan atau tidak memberitahu dan meminta bantuan daripada orang yang bertanggungjawab dan orang yang boleh dipercayai bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana cara berfikir saksi dan mangsa untuk tidak memperbesarkan perkara ini dan untuk mengelakkan sebarang masalah lain yang akan datang selepas itu. Mangsa dan saksi juga takut untuk memberitahu perkara ini kepada pihak yang berkenaan kerana bimbangkan keselamatan diri daripada pembuli itu.

Ketiga ialah, mentaliti senior atau orang yang lebih tua. Apabila mengadakan sebarang perhubungan dengan orang yang lebih tua sama ada secara langsung ataupun tidak, individu tersebut perlulah menghormati orang yang lebih tua darinya mengikut perspektif individu yang bergelar senior itu. Jika beliau merasakan bahawa sesetengah perkara perlu mengikut caranya. Hal ini seterusnya menunjukkan keegoan seorang yang lebih tua dengan mengenakan si individu yang padanya telah membuat kesilapan walaupun kesilapan itu tidak disedarinya atau dilakukan secara sengaja. 86% dan 88% daripada 50 orang responden melaporkan sebagai mangsa guru dan orang dewasa di sebuah institusi yang melibatkan pembulian fizikal dan psikologikal.

Keempat, fizikal pembuli atau mangsa buli. Kebiasaannya, pembuli mempunyai bentuk fizikal yang lebih besar jika dibandingkan dengan mangsa. Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan menjadi ukuran dalam berlakunya kes-kes buli ini dan sudah pasti orang yang berbadan lebih besar dilihat lebih kuat dan bertenaga jika dibandingkan dengan orang yang mempunyai tubuh yang kecil. Terdapat ramai individu yang pelbagai saiz yang menuntut di sesebuah institusi. Jadi, pemantauan secara empirikal tidak dapat dilaksanakan untuk mengelakkan berlakunya kejadian buli ini secara total.

Kelima ialah, kelainan mangsa. Individu yang dilihat sebagai kurang dari aspek fizikal seperti mempunyai kecacatan sering dijadikan sebagai mangsa buli. Ini adalah kerana, individu ini tidak seperti individu lain yang normal. Jadi, alasan untuk itu ialah individu ini tidak sama dengan kebanyakkan orang dan selalunya individu seperti ini sentiasa merendah diri di khalayak awam. Permasalahannya ialah mereka sebagai mangsa yang tidak sempurna tidak berani untuk melaporkan kejadian buli dan sanggup untuk menghadapi sebarang bentuk buli yang dilakukan ke atasnya oleh kaki-kaki buli. Mereka juga tidak akan memberatkan hal itu ke pihak atasan atau pentadbiran demi untuk mengekalkan keadaan yang padanya memang nasib dan takdirnya.

4.0 Implikasi Tingkahlaku Buli

Mangsa buli akan menerima impak yang besar dalam kehidupannya. Mangsa akan sering merasa tidak tenteram atau selamat jika berada di kawasan-kewasan tertentu terutamanya di tempat yang sunyi, gelap, suram, dan kawasan-kawasan yang seakan-akan di tempat mangsa dibuli. Tekanan perasaan yang dialami oleh mangsa buli ini boleh membawa kepada perkara-perkara yang lebih serius jika tidak mendapat rawatan yang lebih spesifik. Perasaan ingin bunuh diri juga boleh datang ke dalam diri mangsa apabila beliau sering mengalami tekanan perasaan akibat daripada perbuatan buli yang memberi kesan yang mendalam kepada diri mangsa. Mangsa akan merasakan bahawa kehidupannya tidak baik untuk diteruskan akibat daripada pengalaman-pengalaman pahit yang dilalui semasa kehidupannya. Selaian itu, mangsa juga akan sentiasa mengasingkan diri dari orang ramai. Impak daripada buli ini menunjukkan bahawa mangsa adalah seorang yang lemah, pondan, tidak kuat, penakut dan sebagainya dan hal ini menjadikan mangsa merasakan bahawa dirinya tidak sama dengan individu lain lalu bersikap seperti kera sumbang, sikap yang dingin dan pemalu. Kesihatan mental mangsa buli ini terjejas tidak seperti individu lain yang tidak pernah mengalami situasi seperti itu.

Mangsa buli juga selain daripada terjejas kesihatan mentalnya, kesihatan fizikalnya juga turut mendapat kesan. Mangsa buli lebih mudah untuk mengalami masalah fizikal jika dibandingkan dengan individu lainnya. Penyakit-penyakit seperti selsema, batuk, sakit tekak, selera makan menurun dan sering kali terjaga pada waktu malam mudah untuk mangsa untuk menghidapinya. Sudah pasti kita tidak dapat menolak bahawa antara penyakit ini adalah kesan daripada tekanan jiwa atau perasaan yang dialami mangsa.

Kesan terhadap kaki buli pula ialah beliau akan menjadi lebih agresif pada hari depannya. Ini adalah kerana cara hidupnya yang bersifat agresif pada seawal usianya menjadikannya sentiasa bersifat dan bersikap secara agresif. Ia juga akan mendorong kepada perbuatan jenayah yang lebih besar seperti merompak, menyamun dan membunuh. Personaliti yang telah dipupuk semasa kecil akan mencorak kehidupan ketika menjangkau alam dewasa. Dengan itu kaki buli semasa di peringkat sekolah lebih berpeluang untuk menjadi seorang penjenayah sama ada penjenayah kecil atau besar apabila dewasa kelak jika tidak terdapat sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri individu ini ketika masih awal.

Buli juga memberi kesan yang negatif kepada sekolah itu sendiri. Sekolah tersebut akan dilihat dan dilabelkan sebagai sekolah yang mempunyai masalah disiplin yang besar dan pentadbiran sekolah jugalah yang akan mendapat malu. Dalam jangka masa yang panjang, prestasi akademik sekolah juga akan menurun apabila kejadian buli ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak sekolah. Ini adalah kerana sistem pendidikan yang tidak dapat disampaikan dan diserapkan ke dalam diri pelajar-pelajar kerana sibuk menguruskan kes-kes buli yang tidak pernah selesai. Ini seterusnya menjatuhkan nama baik sekolah tersebut dan sekolah itu tidak akan menjadi pilihan bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah kerana masalah tersebut akan mengancam prestasi anaknya sendiri dalam mencapai kemajuan

5.0 Langkah-Langkah Mengatasi

Langkah-langkah yang wajar harus dijana bagi mengelakkan kejadian buli ini berlaku terutamanya di persekitaran sekolah. Pihak pentadbiran harus sentiasa mengingatkan kakitangan supaya menangani kes buli ini dengan lebih profesional, iaitu dengan mengimbangkan kesan ke atas pembuli dan mangsa. Pembuli harus dinasihati terlebih dahulu sebelum dikenakan sebarang tindakan disiplin supaya keinsafan datang ke dalam sanubari mereka. Mangsa pula perlu diberi harapan dan dorongan supaya ia tidak memberi kesan yang mendalam ke atas mentalnya.

Pengawasan secara rapi dan efisyen perlu dilaksanakan oleh kakitangan bagi memberi dan membuka ruang daripada berlakunya kejadian buli ini. Kawasan-kawasan yang boleh menyumbangkan kepada terjadinya kes buli ini perlu sentiasa dipantau. Bilik persalinan, bilik air, belakang bangunan dan di kantin perlu diawasi selalu. Sebagaimana yang telah kita semua sedia maklum, kejadian buli ini kebanyakkannya berlaku di kawasan-kawasan yang sunyi dan terpencil yang jauh dari perhatian awam.

Penuntut juga perlu diserapkan tentang tanggungjawab sosial untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab. Buli bukan sahaja melanggar peraturan atau disiplin sekolah, malah ia melanggar undang-undang negara atau persekutuan. Sebarang unsur-unsur yang boleh ditakrifkan sebagai buli perlu dilaporkan kepada pihak atasan supaya kejadian yang sama tidak berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang oleh individu yang sama. Penuntut-penuntut juga perlu sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap sekolah, masyarakat dan negara dalam mereka menggalas peranan sebagai peneraju masa hadapan.

Kaunselor di sekolah juga dalam memegang peranan sebagai perunding dan penasihat di sesebuah sekolah juga harus memainkan peranan yang penting dalam mengatasi permasalahan ini. Dialog-dialog bersama bersama dengan mangsa dan pemangsa dapat mengurangkan kesan yang negatif yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Kemahiran-kemahiran dalam mempengaruhi sikap murid-murid khasnya dapat membantu untuk menjayakan hasrat tersebut untuk menjamin tingkahlaku negatif tersebut tidak berulang terutamanya kepada pemangsa.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya hidup secara sihat. Perkara-perkara yang boleh mengganggu emosi anak-anak perlu dielakkan kerana perkara tersebut hanya akan melahirkan mental yang tidak sihat dalam kalangan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga perlu selalu mengenalpasti bahawa anak-anaknya tidak terlibat dalam tingkahlaku buli ini secara kerap samada sebagai mangsa atau pemangsa. Antara lain ialah ibu bapa mengajar dan mendidik bagaimana untuk memberi respon dengan lebih berkesan untuk mengelakkan kejadian buli ini. Contohnya dengan cara mengelakkan daripada berada di kawasan yang boleh terjadinya buli seperti di tempat-tempat terpencil, berada dalam kumpulan yang besar atau ramai, tidak melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan orang lain dan berinteraksi dengan cara yang positif dengan orang ramai seterusnya dapat mengelakkan dari menjadi punca buli ini.

6.0 Kesimpulan

Permasalahan buli ini bukanlah suatu perkara yang boleh dilihat sebagai perkara yang kecil. Kita harus ingat bahawa sebelum terjadinya suatu yang besar yang selalunya akan memberi impak yang besar akan adanya atau terjadinya sesuatu yang kecil terdahulu. Semua pihak perlu berada di kedudukan atau tempat masing-masing dalam menggalas peranan sebagai ahli dalam struktur sosial ini agar sistem yang telah kita bina selama ini berfungsi dengan efektif dan selamat. Individu yang baik bermula daripada keluarga yang sejahtera kehidupannya.Oleh itu, penyerapan nilai-nilai murni dalam keluarga adalah penting bagi menjamin kualiti hidup yang lebih sempurna pada hari mendatang. Bukan material yang kita lihat, tetapi akhlak yang kita sanjung. Budi pekerti yang baik individu sesama individu akan melahirkan perhubungan yang lebih positif dan bermakna dalam kalangan mereka.

Semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras permasalahan ini dari terus berakar-umbi dalam masyarakat kita. Peranan masing-masing dalam sistem sosial ini perlu kita lakukan dengan sehabis baik berlandaskan dengan agama dan sistem kepercayaan masing-masing. Tidak ada agama yang melihat suatu penindasan suatu yang baik dan positif. Jadi, pendidikan awal iaitu sebelum atau semasa individu itu bersekolah amat penting dalam memastikan akhlak dan moralnya berada pada tahap yang normal bagi seorang penghuni dunia yang masih baru mengenal dunia ini. Jika buruk ajaran atau pendidikan yang diajar atau diserapkan dalam diri individu itu, maka sudah pasti masa depannya juga begitu seperti yang telah disosialisasikan itu.

aku,aku dan aku kah?


Aku adalah seorang insan yang mempunyai akal yang mempunyai 1001 keupayaan mentafsif pelbagai sesuatu dari perspektif yang juga pelbagai. Berfikir secara kritikal juga adalah salah satu cara aku berfikir dan telah aku jadikan cara berfikir jenis itu sebagai hobiku dalam mengisi masa-masa yang terluang demi mencari dan mengganti teori-teori atau hukum-hukum yang telah sedia ada. Pemikir yang hebat adalah pemikir yang menggunakan akalnya semaksima mungkin dan berusaha untuk menangkis serangan dari bisikan halus yang muncul secara tiba-tiba dari dalam diri walaupun terpaksa berpidato dengan diri sendiri..walaupun begitu, aku bukanlah sehebat yang dijangka dan aku bukannya selemah yang diduga..aku adalah aku dan yang mengetahui tentang diri aku hanyalah Pencipta aku. Kehidupan aku yang dikira agak sederhana disamping keluarga yang dicinta mensosialisasikan aku seperti ini yang hanya aku mengetahui tentang aku. Adakah aku adalah bentuk badan yang ada pada aku sekarang? Atau, adakah aku adalah pemikiran aku sekarang? Atau, adakah aku adalah roh aku? Bagaimana dengan kamu..?Takkan tak pernah terfikir dalam diri kamu siapa kamu...cuba tanya dalam diri :

1.siapa aku selain kehidupan aku?

2.apa fungsi aku dalam kehidupan ini?

3.bagaimana aku boleh berfungsi sebagai aku di sini?

4.di manakah aku berada selepas aku tiada?

aku, kamu dan KUBUR

Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima (5) Kali ...
1. Aku rumah yang terpencil,maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
2. Aku rumah yang gelap,maka terangilah aku dengan selalu solat malam.
3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
4. Aku rumah ular berbisa,maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,maka banyaklah bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya kamu dapat jawapan kepadanya.